Media

IJM komited kukuh sektor perladangan

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IJM Corporation Bhd (IJM Corp), Datuk Soam Heng Choon.

KUALA LUMPUR: IJM Corporation Bhd (IJM Corp) komited untuk terus melabur mengembangkan sektor perladangannya di sebalik spekulasi terdapat pihak berminat untuk mengambil alih cabang perniagaannya itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Soam Heng Choon, berkata pihaknya akan terus melabur untuk membeli dan mengambilalih tanah perladangan yang berpotensi sama ada di dalam dan luar negara.

“Kami sudah menjalankan perniagaan dalam sektor perladangan (kelapa sawit) lebih 30 tahun dan sudah tentu kami komited (untuk meneruskannya). Kami sentiasa meninjau peluang jika ada pihak yang mahu menjual tanah ladang berhampiran dengan kami.

“Jika ada pihak mahu menjual tanah beribu ekar tetapi amat jauh dengan kami, syarikat tidak berminat. Namun jika ia berhampiran dengan kami, sudah tentu kami akan menimbangkannya. Kami juga tiada masalah untuk memperuntukkan dana pengambilalihan tanah ladang ini terutama bagi tujuan pengembangan di Indonesia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat, hari ini.

IJM Corp memiliki 60,981 hektr tanah perladangan di Sabah, Kalimantan dan Sumatera sekali gus menjadi sasaran spekulasi terdapat pihak berminat untuk mengambilalih cabang perniagannya itu.

Pasaran membuat spekulasi IOI Corp, Hap Seng Plantation Holdings Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd sebagai pihak yang berminat untuk mengambil alih.

Mengulas mengenai potensi sektor perladangannya di Indonesia, Heng Choon berkata, ketika ini usia tanamannya di sana berusia di antara empat hingga tujuh tahun.

“Dalam tempoh tiga tahun, apabila lebih 80 peratus tanaman ini berusi lebih tujuh tahun, banyak buah tandan segar yang akan diperoleh dari Indonesia.

“Banyak tanaman kami bakal matang dan pengeluaran di Indonesia akan meningkat termasuk di Malaysia. Menjelang akhir tahun ini, lebih banyak buah kelapa sawit akan dihasilkan. Kami menghasilkan kira-kira 930,000 tan buah tandan segar tahun lalu dan pada tahun ini kami harap ia mampu mencecah sejuta tan,” katanya.

Pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019, IJM Corp mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.444 bilion, susut 1.2 peratus berbanding suku sama tahun lalu iaitu RM1.461 bilion.

Untung sebelum cukai konglomerat itu bagi suku dikaji turut susut 44.6 peratus kepada RM103.29 juta berbanding RM186.46 pada suku sama tahun lalu.